
Kalau sebut sambal hitam belimbing, orang Pahang memang terus terbayang sepinggan nasi panas. Sambal ni dah macam "artis jemputan wajib" setiap kali kenduri. Kenduri besar ke, kenduri kecil ke... kalau tak ada sambal hitam, macam ada yang tak lengkap. Ada je yang akan bertanya, "Eh... sambal hitam mana?" Macam datang kenduri semata-mata nak cari sambal tu. 😂
Yang istimewanya, sambal hitam ni bukannya senang nak jumpa. Bukan macam sambal belacan yang pergi mana-mana gerai pun ada. Sambal hitam ni memang susah nak cari, apatah lagi kat restoran besar. Sebab itulah bila ada peluang makan, memang aku takkan lepaskan.
Rahsia dia bermula dengan belimbing buluh yang direbus selama dua hingga tiga jam. Lama tu! Sampai belimbing yang asalnya hijau bertukar hitam legam. Sebab tu orang panggil sambal hitam. Bukan sebab hangus tau! Hahaha...
Bahan-bahannya pun tak banyak. Belimbing rebus, ikan bilis tumbuk, cili padi dan bawang merah. Lepas tu tumis sampai naik bau. Garam? Tak payah letak! Belimbing dengan ikan bilis tu dah cukup rasa masinnya. Mudah je, tapi hasilnya... memang boleh buat periuk nasi cepat kosong!
Gambar sebelah kanan tu pula ialah belimbing yang dah siap direbus. Bagi orang kampung, belimbing ni bukan setakat dibuat sambal. Ia juga dijadikan asam dalam masakan, terutama gulai ikan sungai. Air rebusan belimbing pula jangan dibuang. Orang dulu-dulu guna sebagai pencicah ikan bakar, malah dibuat membasuh ikan sungai untuk hilangkan bau hanyir. Haa... orang lama memang tak ada yang membazir.
Yang paling kelakar, selama ni aku ingat sambal hitam ni susah sangat nak buat. Rupa-rupanya... aku yang tak rajin belajar! Selama ni asyik buat sambal belimbing mentah je. Bila dah cuba buat versi yang dimasak... alahaiii... sedap dia lain macam! Patutlah masa makan, tangan ni asyik cedok sambal. Nasi belum habis, sambal dah tinggal bekas. Lepas tu sibuk salahkan periuk nasi sebab cepat sangat kosong. Padahal... mulut sendiri yang tak berhenti! 🤣🍚🌶️











