Alkisah Disember 2014...
Aku sedikit gusar memikirkan keadaan di kampung. Mujurlah ketika itu mak sudah berada di Kuala Lumpur kerana mengikuti anak-anak saudaranya bercuti ke Cameron Highlands.
Tanpa berlengah, aku bergegas pulang ke kampung bersama mak. Sepanjang perjalanan, mak sibuk menghubungi anak-anak muda di kampung memohon bantuan mengangkat peralatan rumah ke tempat yang lebih tinggi.
Dalam keadaan genting seperti itu, aku dapat melihat semangat gotong-royong yang begitu kuat dalam kalangan anak muda kampung. Mereka bergerak dari rumah ke rumah membantu penduduk walaupun hujan turun tanpa henti.
Kerjasama dan tanggungjawab mereka amat aku hargai. Terima kasih anak-anak muda Kampung Gintong atas bantuan yang diberikan. Kalian membuktikan bahawa nilai kemanusiaan masih kukuh ketika masyarakat berdepan musibah.
Sepanjang perjalanan terutama melalui Jalan Temerloh-Jerantut, air sudah mula memenuhi kawasan kiri dan kanan jalan. Laluan di Kuala Krau juga hampir dinaiki air.
TERKANDAS DI TEBING TINGGI, JERANTUT
(Lebih kurang 5 kilometer lagi untuk sampai ke rumah)
Sampai sahaja di Tebing Tinggi, langkah perjalanan kami terhenti. Hanya tinggal kira-kira 5 kilometer lagi untuk sampai ke rumah, namun air yang naik mendadak bersama hujan renyai yang tidak berhenti menyebabkan laluan itu tidak lagi boleh dilalui kenderaan.
Di sinilah bermulanya satu pengalaman yang tidak mungkin aku lupakan.
Bantuan datang daripada 'Alang Kor' (Abdul Shukor Zakaria), bapa saudaraku yang sanggup mengheret botnya sendiri dari Sungai Pahang untuk membawa aku dan mak menyeberangi jalan yang telah dinaiki air.
Alang Kor memang mahir mengendalikan bot kerana kehidupan beliau banyak berkait dengan sungai sebagai sumber mencari rezeki. Kawasan laluan kami juga sebenarnya berhampiran dengan Sungai Pahang.
Perjalanan menaiki bot terpaksa dilencongkan melalui kawasan pokok kelapa sawit menyebabkan laluan yang sepatutnya dekat menjadi lebih jauh, melebihi 600 meter.
Enjin bot tidak boleh digunakan kerana dikhuatiri tersangkut pada batang kayu hanyut, dahan kelapa sawit dan pokok-pokok lain yang tersembunyi di bawah air.
Akhirnya pendayung menjadi pilihan paling selamat. Dengan perlahan-lahan bot digerakkan sambil mengelak segala halangan yang tidak kelihatan kerana air yang keruh.
Sebenarnya, jauh di sudut hati aku ada rasa teruja. Aku anak kampung yang membesar dengan suasana sebegini. Bermain air bah, mengutip ikan yang terperangkap di atas jalan ketika musim banjir — semuanya bukan perkara asing bagi aku.
Ketika mendayung, sesekali bot terlanggar dahan yang hampir tenggelam. Air yang keruh menyukarkan pandangan, menyebabkan kami tidak dapat melihat dengan jelas apa yang berada di hadapan mahupun di bawah permukaan air.
Air semakin naik hingga hampir ke penghujung pokok kelapa sawit. Dalam keadaan begini, kemahiran mendayung amat diperlukan.
Namun aku tidak terlalu cemas. Aku dan mak boleh berenang, dan aku juga sudah beberapa kali melalui pengalaman menaiki bot di kawasan ini.
Malah, musim tengkujuh inilah waktu yang sering aku nantikan untuk pulang ke kampung. Sejujurnya, aku memang suka bermain air bah.
Wajah mak pula tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Riak wajahnya sukar untuk aku tafsirkan. Entah dia tidak berasa cemas, atau mungkin dia juga seperti aku — masih mampu menikmati pengalaman bermain air bah.
Langkah Mak Yang Tidak Pernah Goyah
![]() |
Untuk lebih selesa, mak memilih berjalan berkaki ayam. Mungkin lebih cepat dan tidak licin. (Lihat gambar)
Sepanjang perjalanan, hujan renyai-renyai terus membasahi tubuh kami, membawa bersama rasa sejuk yang mencengkam. Dalam kesunyian di waktu senja yang semakin gelap, langkah kami ditemani pelbagai bunyi alam — kicauan unggas, bunyi katak, cengkerik dan suara haiwan-haiwan lain yang jarang aku dengar dalam suasana seperti itu. Suasana itu terasa asing, namun tetap meninggalkan satu kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Aku sudah biasa dengan bunyi alam ketika banjir, tetapi kali ini terasa berbeza.
Langkah mak semakin laju. Aku pula berlari-lari anak mengejarnya kerana sibuk merakam kenangan yang mungkin tidak akan berulang.
Kami berjalan hampir tiga (3) kilometer.
Sesekali salakan anjing dari kawasan kebun getah membuatkan hati sedikit berdebar. Bunyi itu kedengaran agak aneh, seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu yang aku sendiri tidak mampu memahami.
Apa yang bermain dalam fikiran aku ketika itu, takut juga kalau anjing-anjing tersebut keluar mengejar kami.
Aku teringat petua orang lama — kalau dikejar anjing, jangan lari.
Tetapi dalam keadaan panik, siapa tahu? Silap haribulan aku yang lari meninggalkan mak... atau mungkin mak yang lari meninggalkan aku.
Bot Pak Teh Boho
![]() |
| Bot Pak Teh Boho |
Perjalanan kami terhenti sekali lagi apabila terpaksa menaiki bot kedua kerana laluan seterusnya sudah ditenggelami air yang semakin dalam.
Ketika itu hujan semakin lebat. Mujurlah saudara kami, Nazar Kasim atau lebih dikenali sebagai Pak Teh Boho, datang membantu menghantar aku dan mak menggunakan bot beliau sendiri.
Terima kasih Pak Teh Boho kerana membantu kami dua beranak.
Bot kali ini bergerak lebih pantas kerana menggunakan kuasa enjin. Tidak sampai beberapa minit, perjalanan sejauh lebih kurang 300 meter itu berjaya dilalui dan kami sampai ke jalan yang tidak dinaiki air.
Aku dan mak meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki kira-kira 800 meter dalam hujan yang semakin lebat. Hari pula semakin gelap. Kami perlu sampai ke rumah sebelum malam.
Namun sekali lagi kami terkandas.
Ini merupakan halangan air yang ketiga sebelum sampai ke rumah yang hanya tinggal lebih kurang 500 meter sahaja lagi.
Arus air sedikit deras, tetapi tiada pilihan lain. Kami terpaksa meranduk air di atas jalan.
Ketika itu barulah rasa gementar mula hadir dalam diri aku. Hari semakin gelap dan kami tidak mempunyai bekalan lampu. Mak juga kelihatan ragu-ragu sama ada kami mampu melepasi kawasan itu atau tidak.
Aku kuatkan semangat dan cuba meyakinkan mak. Aku anggarkan air paling dalam hanya sekitar paras pinggang.
Dengan penuh berhati-hati, kami terus meranduk air.
Alhamdulillah... selepas kira-kira satu rantai perjalanan, aku terlihat cahaya di hadapan.
Pada sangkaan aku, mungkin adik lelaki datang menjemput.
Ternyata benar. Dia datang bersama bot Pak Usop untuk membawa kami pulang.
Walaupun bot tersebut agak berusia dan tidak mudah dikendalikan, namun dengan kemahiran adikku mengemudi bot, akhirnya kami berjaya sampai ke rumah sebelum pukul 8 malam.
Ketika itu, air sudah memenuhi laman rumah.
Namun yang paling memenuhi hati aku bukanlah air bah yang melimpah, tetapi rasa syukur kerana akhirnya aku dan mak selamat sampai ke rumah.
Bah Kuning 2014 bukan sekadar kisah banjir.
Ia adalah kisah tentang keluarga, bantuan orang kampung, keberanian, kenangan dan kasih sayang yang tidak akan pernah hilang daripada ingatan.

