Pages

Thursday, November 26, 2015

BAH KUNING 2014 TINGGALKAN EMOSI YANG MENDALAM

Hampir setahun berlalu..

Alkisah Disember 2014

Panggilan bertalu-talu daripada adik  di kampung meminta agar mak  balik segera kerana air akan naik pada bila-bila masa sahaja. Hujan pula tidak berhenti. Gusar juga aku dibuatnya mujurlah ketika itu mak sudahpun berada  di Kuala Lumpur kerana mengikuti anak-anak saudaranya  bercuti ke Cameron Highlands.

Aku bergegas pulang ke kampung bersama mak. Dalam perjalanan mak sibuk menghubungi anak-anak muda di kampung memohon bantuan mengangkat peralatan rumah ke tempat yang lebih tinggi. Dalam  hal ini anak-anak muda kampung amat membantu. Kerjasama dan tanggungjawab anak-anak muda di kampung amat terpuji. Mereka pergi dari rumah ke rumah  memberi bantuan biarpun hujan tidak berhenti. Terima kasih kepada anak-anak muda Kampung Gintong atas bantuan yang diberikan.


Sepanjang perjalanan terutamanya Jalan Temerloh-Jerantut, air sudah mula naik di kiri dan kanan jalan. Laluan di Kuala Krau juga hampir di naiki air.



TERKANDAS DISINI..Tebing Tinggi, Jerantut
lebih kurang 5km untuk sampai ke rumah

Laluan disini mematikan langkah aku untuk terus ke kampung hanya 5km sahaja lagi untuk sampai ke rumah. Air naik mendadak disamping hujan renyai yang tidak berhenti, memutuskan laluan seterusnya. Kenderaan bermotor tidak lagi boleh melalui jalan ini .

Bantuan dari 'Alang' bapa saudaraku dengan mengheret botnya sendiri dari sungai Pahang untuk membawa aku dan mak menyeberangi jalan yang dinaiki air. Beliau seorang yang mahir mengendalikan bot kerana bot adalah rutin kehidupannya mencari rezeki di sungai. Jalan ini sebenarnya berhampiran dengan sungai Pahang.


Perjalanan menaiki bot terpaksa dilencongkan ke kawasan pokok kelapa sawit menyebabkan laluan yang dekat menjadi jauh sehingga melebihi 600 meter. 

Laluan ini juga tidak mengizinkan penggunaan enjin bot kerana dikhuatiri tersangkut batang kayu hanyut dan dahan-dahan kelapa sawit juga pokok-pokok lain.

Menggunakan pendayung adalah cara yang paling selamat kerana mudah untuk mengelak pokok-pokok serta dahan-dahan kelapa sawit. 

Hati kecil aku sebenarnya sedikit seronok, mana tidaknya aku anak  kampung yang terdedah hidup dengan cara begini sedari kecil, mengutip ikan di atas jalan juga pernah aku lalui ketika musim bah.


Ketika mendayung. sesekali terlanggar dahan yang hampir tenggelam kerana air yang keroh menghalang penglihatan dan tidak dapat melihat halangan dengan jelas di hadapan mahupun di dalam air.

Air semakin naik hingga ke penghujung pokok kelapa sawit dan sukar jika tiada kemahiran mendayung. 


Perasaan aku ketika itu tidaklah terlalu cemas kerana aku dan mak pandai berenang, dan aku juga telah beberapa kali menempuhi pengalaman menaiki bot disini, dan sebenarnya 'musim pejur' inilah yang aku tunggu untuk  balik ke kampung, kerana ikhlas aku katakan aku suka bermain air bah.

Wajah mak seperti tiada apa berlaku. Riak wajahnya juga sukar dibaca, mungkin dia juga tidak mempunyai perasaan cemaspun ketika itu atau dia juga suka bermain air ???



Setelah sampai ke jalan yang boleh dilalui , aku dan mak menyambung perjalanan dengan berjalan kaki. Alang pula berpatah balik. Dia tidak boleh meneruskan bot hingga ke rumah kerana jalan disini tidak ditenggelami air. 

Untuk lebih keselesaan mak berkaki ayam, cepat dan tidak licin agaknya (lihat gambar) Sepanjang berjalan kaki kami  ditemani bunyi unggas, katak, cengkerik dan pelbagai bunyi haiwan yang lain yang tidak pernah aku dengar sebelum ini. Aku sudah lali dengan bunyi binatang ketika banjir tetapi kali ini tidak seperti selalu. Langkah dan hayunan mak semakin laju, berlari-lari aku mengejarnya kerana aku sibuk merakam kenangan.

Perjalanan melebihi 2 km. Sesekali salakan anjing di kebun getah sedikit mencemaskan kerana bunyinya sedikit aneh, seolah-olah memberitahu sesuatu tetapi aku tidak dapat menangkap maksud yang tersembunyi.

Apa yang aku fikirkan mereka akan keluar menghambat aku dan mak, tetapi aku tahu petua jika dikejar anjing...jangan lari ! tetapi jika dalam keadaan panik apa-apa pun boleh jadi silap haribulan aku cabut lari meninggalkan mak atau mungkin juga mak lari meninggalkan aku.

Bot Pak Teh Boho
Perjalanan seterusnya, kami terpaksa menaiki bot kedua kerana jalan di sini ditenggelami air yang sudah melebihi paras bahaya. Ketika itu hujan semakin lebat, mujur ada saudara di kampung Nazar Kasim atau digelar Pak Teh Boho menghantar aku dan mak menggunakan bot beliau sendiri. Terima kasih Pak Teh Boho menghantar kami dua beranak.

Bot kali ini memakan masa beberapa minit sahaja kerana menggunakan kekuatan kuasa kuda. Lebih kurang 300 meter menaiki bot kami sampai ke jalan yang tidak dinaiki air. 


Aku dan mak meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki lebih kurang 800 meter dalam keadaan  hujan dan hari semakin gelap. Kami terpaksa berjalan kaki  untuk sampai ke rumah sebelum malam.

Sekali lagi kami terkandas. Ini kali ketiga halangan air yang kami tempuhi sebelum sampai ke rumah yang hanya lebih kurang 500 meter sahaja lagi. Arus sedikit deras, tetapi kami terpaksa meranduk air kerana tiada pilihan lagi. Perasan gementar wujud dalam diri aku ketika itu kerana hari semakin gelap dan kami tiada bekalan lampu, mak juga seperti teragak-agak samada boleh lepas ataupun tidak. Aku kuatkan semangat dan tunjuk keberanian mengajak mak 'meranduk' air hingga ke rumah aku anggarkan paling dalam pun setakat pinggang.

Dan Alhamdulillah kira-kira satu rantai 'meranduk' air, aku nampak kelibat cahaya di hadapan. Sangkaku adik lelaki datang menjemput. Memang benar dia datang mengambil aku dan mak menggunakan bot Pak Usop. Biarpun agak sukar mengendalikan bot yang agak 'berusia' tetapi atas kemahiran adikku mengendalikan bot , akhirnya kami sampai juga ke rumah sebelum pukul 8 malam.

Air ketika itu sudah memenuhi laman rumah. 

Friday, August 15, 2014

TEBU HITAM SEJUKKAN BADAN


tebu hitam
Tebu hitam , pertama kali aku merebus dan minum airnya sebab mak aku ada tanam. Dia cakap kalau nak suara sedap dan merdu rebuslah tebu tu..minum. Aku pun apa lagi laa cepat-cepat menebangnya, sepokok je dulu, nak kan suara merdu la katakan. aku bukannya nak sangat suara tu jadi merdu, lainlah penyanyi , tapi aku berharap sangat kot lah suara aku yang pelat R ni dapat dipulihkan ... 

Sebenarnya air tebu ni boleh merawat sakit tekak dan membersihkan tekak dari kahak-kahak yang degil. memang betulpun lepas aku minum habis semua saki baki kahak aku keluar. satu lagi khasiatnya mengikut internet ialah menyejukkan badan. bab ni aku tak rasapun sejuk sebab kat kampung panas, musim kemarau, minumlah apa pun tetap panas masa ni.

Cara aku buat tengok je gambar ni. Mula-mula kupas kulit dan potong pendek, kemudian belah empat atau enam. Kemudia basuh sehingga bersih dan masukkan air sehingga ampuh. Rebuslah sehingga airnya kurang atau tinggal separuh. Bila dah sejuk baru minum, sedap tapi tak manis. 

Pada aku air nya rasa macam air rebusan 'podok' jagung. Aku suka minum keesokan hari, waktu pagi, sedap. 

Lain-lain khasiat search kat internet, semua sama je tapi kalau kita sendiri yang minum, kita sendirilah tahu khasiat untuk diri kita sendiri. 

Khasiat untuk diri aku memang ada, nak cakap lebih-lebih khasiatnya bukan apa takut tak betul, mungkin kebetulan untuk diri aku je..jadi korang cuba lah sendiri. Minum tiga atau empat hari..memang best...dapat rasa sendiri tapi tak reti nak terangkan macam mana.

Esok aku balik kampung, aku akan rebus lagi tebu hitam ini sebab nak tengok samada khasiat yang aku dapat sebelum ini masih sama atau tidak.

Yang pasti pelat R aku tak hilang.